Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan membebaskan media cetak dari kongkongan parti politik pemerintah untuk menjadikan ia lebih relevan dan dekat di hati rakyat. DPPM mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon yang menyatakan media cetak masih lagi menjadi sumber utama berita dan sesuai dengan generasi lama.
Bagi DPPM, generasi lama dan kebanyakan rakyat masih menggunakan media cetak sebagai bahan rujukan mereka memandangkan akses internet masih belum mencakupi keseluruh kawasan khususnya di kampung-kampung. Oleh kerana itu, rakyat khususnya generasi lama masih bergantung kepada media cetak kerana itulah sumber maklumat yang mampu mereka perolehi.
Dalam keadaan demikian parti pemerintah tidak seharusnya mengambil kesempatan untuk meracuni pemikiran rakyat dengan berita berat sebelah dan menyerang pihak pembangkang semata-mata. Cukuplah selama ini rakyat diperbodohkan dengan pelbagai agenda sempit kepartian BN dalam media cetak seolah-olah media tersebut milik penuh mereka sedangkan ia akhbar rasmi negara. Selama ini segala bahan berita yang dimuatkan hanya menunjukkan kebaikan BN sedangkan imej Pakatan Rakyat diburukkan dengan pelbagai berita yang songsang.
DPPM mengingatkan kerajaan bagaimana negara-negara maju memperlakukan media cetak utama negara mereka. Media dibebaskan dari sebarang campurtangan politik kepartian parti pemerintah sehingga media bebas mengkritik mana-mana pemimpin negara yang tidak adil dan menyeleweng. Inilah yang mengangkat integiriti media cetak barat sebagai media yang berpengaruh dan dipercayai.
Justeru itu, bagi mengembalikan kredibiliti media cetak di negara ini, kerajaan harus membebaskan media cetak dari kongkongan politik kepartian mereka. Benarkan media menulis apa yang dirasakan perlu termasuk mengkritik parti pemerintah. Rakyat akan membuka mata dan dengan sendirinya nilai media cetak diangkat di negara ini.
Jika tidak, rakyat semakin jemu untuk membaca kempen politik parti pemerintah dan menghukum Pakatan Rakyat dalam media cetak. Jangan disesali apabila jualan akhbar akan merudum jatuh dan alami kerugian serta syarikat mereka ‘gulung tikar’ekoran boikot rakyat terhadap media cetak nanti.
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan