Jangan terperanjat bila ada penoreh getah mendapat pendapatan RM3,000 sebulan sekaligus melepasi pendapatan penjawat awam. Biar betul? Memang betul la! Hari ni harga getah melambung tinggi sehingga mencecah RM15 sekilogram. Wah mahal getah sekarang......

Isnin, 29 Ogos 2011

Lynas : Suatu Sikap diantara Pandangan Pakar dan Rakyat.

1. PAS sememangnya berbangga mempunyai ramai pakar saintis seperti Dr Che Rosli, Dr Zulkifli Ahmad dan lain - lainnya. Malah mereka adalah sebahagian dari pemimpin PAS yang berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Selain daripada sikap PAS yang selama - lamanya menghargai dan menghormati ilmu serta kepakaran seseorang tokoh yang diiktiraf, penglibatan mereka bersama PAS juga satu penghargaan besar kepada PAS setelah sekian lama PAS dimomokkan sebagai parti kampung, parti tok lebai, parti kain pelikat dan sebagainya.

2. Ertinya kini PAS tidak lagi parti pinggiran atau kampungan yang hanya menjadi mangsa belasahan UMNO dan BN sebagaimana dulu. PAS juga bukan hanya sebuah parti yang hitung tindaknya berasaskan millage politik semata - mata tetapi kini PAS juga boleh menjadi wadah cendikiawan, sasterawan, budayawan, hartawan dan agamawan yang sememangnya menjadi pahlawan yang berjuang mendokong dasar dan prinsip perjuangan PAS iaitu Islam.

3. Apabila PAS menjadi wadah yang besar dan lebar, lalu berlakunya perbedaan pendapat adalah suatu yang lumrah malah menonjolkan kehebatan PAS dalam menangani dan mendepani sesuatu isu atau kes. Kini PAS bukan lagi sebuah jamaah kecil yang dinding pagarnya laksana sebuah surau atau musolla dengan seluruh anggota jamaahnya berpada dengan bimbingan seorang syeikh atau muallim pula berpaut pada satu mazhab [aliran pemikiran].

4. Sebaliknya PAS kini adalah platform ummah yang batu sempadannya laksana sebuah negeri atau negara dengan seluruh anggota jamaahnya memerlukan ramai mujtahid, mufakkir dan muallim dengan mengenengahkan sekurang - kurang 4 mazhab utama ahli sunnah wal jamaah sebagai landasan beramal dan bertindak. Justeru satu mazhab akan menyulitkan perlaksanaan Islam di peringkat agenda nasional dalam zaman yang serba rencam dan kompleks masaalahnya kini. [ mungkin pada peringkat individu, tidak mengapa berpaut kejap pada satu mazhab]

5. Sungguhpun begitu, uniknya Islam sekalipun ia adalah sebuah Manhaj Kehidupan yang besar dan terbuka, Islam diperkaya dengan disiplin dan akhlak yang tinggi serta peraturan yang lengkap dan sempurna. Biarpun Islam dilihat terlalu banyak perbedaan pandangan pada segala masaalahnya seperti fekah namun perbedaan itu diurus dengan baik, teliti dan disiplin menepati prinsip dan kaedah ilmu.

6. Kini PAS mula merasai dan meluruti keunikan itu. Saya harap semua pimpinan, ahli dan penyokong malah pemerhati dari kalangan rakyat terbanyak, dapat bersabar menekuni perkembangan ini tanpa mewajarkan diri keluar atau terhindar dari garis akhlak dan disiplin ilmu.

7. Sungguhpun kesilapan boleh berlaku pada bila - bila masa dan pada sesiapa jua atas sifat kita bukanlah insan yang maksum dan sempurna dalam segala aspek, namun saya tegaskan sekali lagi [kalau berlaku kesilapan], agar kesilapan itu tidak mewajarkan kita bergelut dan berpolemik sesama sendiri, apalagi untuk lari dari manhaj perjuangan Islam yang kita dokong bersama. Min baabil Aula [terlebih layaklah] kalau kita sememangnya tidak silap.

8. Kembali kepada isu Lynas yang hangat diperbahaskan mutaakhir ini, Dr Che Rosli tampil menyatakan pandangannya yang sangat berbeza dengan pandangan dan perjuangan rakyat di Kuantan khasnya di Pahang amnya. Malah berbeza sekali dengan pandangan PAS Pusat yang terlebih dahulu telah mengambil keputusan untuk bersama rakyat Pahang khasnya dan rakyat seluruh negara amnya, menolak operasi Lynas di Gebeng Pahang.

[ Hujjah kenapa rakyat menolak Lynas telah dikemukakan secara rasmi oleh Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat Sdr Zulkifli Mohamad Omar, juga kenyataan rasmi dari Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan boleh ikuti hujjah lebih jelas dari buku khas "Lynas @ Gebeng Kenapa Kami Bantah ?" yang telah diterbitkan oleh Badan Bertindak Anti Rare Earth [BADAR]. ~ sebagaimana pandangan berbeza pula dikeluarkan oleh Dr Che Rusli melalui wawancara beliau dengan TV 3 baru - baru ini ]

9. Saya menghormati pandangan Dr Che Rusli sebagai seorang pakar dan bercakap pula berasaskan ilmu serta kepakaran bidang yang beliau miliki. Bertambah bangga saya, apabila beliau adalah ahli dan pimpinan PAS. Walaupun beliau mengemuka pandangan berbeza, berbeza dengan PAS Pusat, berbeza dengan rakyat Pahang dan berbeza dengan saya, tapi saya lihat tiada cacat celanya dan tidak perlu pula dikata nista kepada beliau selama beliau bercakap dan memberi pandangan berasaskan ilmu yang beliau miliki. Kita sewajarnya menghormati ilmu beliau. Jangan bergaduh dengan beliau dan sabarlah dengan perbezaan ini serta bertindaklah sebaik mungkin.

10. Pandangan berbeza ini insyaallah akan membuka lebih lebar ruang perbahasan, lebih mendalam perbincangan dan lebih detail atau jelas butir perdebatan. Ia akan menjadi ilmu kepada masyarakat untuk lebih nampak dan jelas secara sentimen dan secara saintifik betapa Lynas adalah sebuah industri yang boleh diterima atau mesti ditolak.

11. Harapan saya selepas ini , akan terungkaplah segala keraguan. Setelah seorang Pakar mengemukakan pandangan beliau yang dilihat sebagai menyongsang arus, maka saya juga yakin, skuad Badan Bertindak Anti Rare Earth [BADAR] akan melipat gandakan pengumpulan maklumat, bahan bukti serta fakta kes bagi menjelaskan lagi kedudukan Lynas Corporation ini.

12. Ertinya selepas ini ia akan menjadi perbahasan yang lebih ilmiah bukan lagi sentimen sebagaimana yang dimomokkan sebelum ini. Saya kira selepas ini akan banyak pihak sedia menganjurkan seminar di peringkat nasional dengan menampilkan pakar mewakili pihak masing - masing. Barangkali Sinar Harian akan menjadikan tapak Karangkrafnya sebagai medan perdebatan para pakar ini. Kiranya tiada, Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi sedia untuk menjadi penganjur kepada perdebatan dan perbahasan ilmiah ini.

13. Tapi ingat ! jangan ambil masa terlalu lama untuk memperbahaskan perkara ini, kerana saya bimbang kalau keputusannya kelak, selepas meneliti perbahasan demi perbahasan pakar, akhirnya merumuskan Lynas mesti ditolak, sedang Lynas telah beroperasi, maka rakyat sekali lagi menjadi mangsa dam keadaan mereka tidak ubah seperti tikus makmal.

14. Langkah terbaiknya, saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, mewakili seluruh warga pemuda PAS menggesa agar kerajaan Malaysia mengarahkan agar Kilang Lynas Corporation menghentikan terlebih dahulu sebarang bentuk operasi pembinaan dan operasi penghasilannya sementara memberi laluan kepada semua pakar berbincang dan mengkaji. Bukan hanya melibatkan pakar nuklear, tetapi juga pakar racun, pakar alam sekitar, pakar kesihatan, pakar ekonomi, pakar undang - undang dan lain - lain pakar yang berkaitan termasuk pakar politik serta pemantau bebas antarabangsa.

15. Sejurus selesai ummat Islam menyambut Aidil Fitri, Insyaallah saya akan berbincang dengan Jabatan Undang - Undang dan Hak Asasi Manusia [JUHAM] DPP Malaysia, kemungkinan untuk berusaha mendapatkan arahan mahkamah agar Kilang Lynas yang penuh dengan kontraversi ini ditangguhkan operasinya sehingga jelas kedudukannya di mata rakyat. Agar negara tidak memperjudikan masa depan rakyat sendiri. Apakah kilang ini selamat atau bahaya !

16. Saya yakin dan percaya, bagi pihak BADAR telah muktamad menolak Lynas sebagaimana saya juga salah seorang yang tinggal di kawasan padat penduduk tidak melebihi 30 KM dari Kilang Lynas ini, telah mengambil keputusan muktamad bahawa kilang ini wajar dihenti dan mesti ditutup segera.

17. Tapi nampaknya sebahagian rakyat masih belum memahaminya, belum menerima mesej yang jelas dan belum mendapat maklumat yang tepat dari pihak BADAR. Tambahan pula ada pandangan pakar yang berbeza. Maka adilnya untuk rakyat umum, mereka mesti didedahkan maklumat dari kedua belah pihak terutama kepada rakyat tempatan yang tingal dalam lingkaran 30 kilometer persegi dengan Kilang Lynas ini.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites