
SHAH ALAM 3 Ogos - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan wujudnya tekanan politik dalaman sehingga menyebabkan Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) berkuat kuasa hari ini.
Katanya, pihaknya sudah menjangka krisis tersebut akan berlaku dan telah bertindak menubuhkan sebuah pasukan petugas khas lebih awal dengan beberapa perbincangan dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.
Pasukan petugas khas tersebut katanya, dianggotai oleh tiga orang Ahli Lembaga Pengarah Unisel iaitu Datuk Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie yang merupakan bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM); bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Datuk Dr. Mohamed Ariffin Aton dan bekas Naib Canselor Unisel, Datuk Dr. Adnan Alias.