Jangan terperanjat bila ada penoreh getah mendapat pendapatan RM3,000 sebulan sekaligus melepasi pendapatan penjawat awam. Biar betul? Memang betul la! Hari ni harga getah melambung tinggi sehingga mencecah RM15 sekilogram. Wah mahal getah sekarang......

Isnin, 29 Ogos 2011

Aidilfitri Bulan Menyatukan Persaudaraan Islam

Bagi mewakili seluruh saf kepimpinan PAS Kawasan Titiwangsa, saya mengucapkan selamat Menyambut Hari Raya Adilfitri 1432 ini kepada seluruh umat Islam khususnya di Parlimen Titiwangsa. Hari Raya Aidilfitri adalah salah satu daripada dua perayaan yang disunnahkan untuk kita menyambutnya selain Hari Raya AidilAdha.

Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai meraikan kejayaan umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Ramadhan adalah bulan tarbiyah bagi umat Islam mendidik jiwa, rohani, dan fizikal agar bertaqwa kepada Allah SWT. Natijah daripada berpuasa adalah melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah SWT. Pengorbanan umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan menuntut kesabaran, kekuatan iman serta kekuatan jasmani dan mental bagi menghadapi segala ujian mendatang.

Bulan Syawal adalah bulan bagi umat Islam mensyukuri nikmat taqwa yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Sambutan Hari Raya Aidilfitri mestilah diraikan dengan amalan sunnah iaitu bertakbir, bertahmid disamping saling berkunjung dan menziarahi, bermaafan, serta saling menggembirakan antara satu sama lain. Perasaan suma’ah atau mazmumah seperti hasad dengki, dendam, benci, takabbur, sombong, tamak, riya’, bakhil dan lain-lain hendaklah dijauhi. Sebaliknya ia perlu diisi dengan sifat mahmudahseperti perasaan sayang menyayangi, kasih mengasihi, pemurah, peramah, berlemah lembut, dan berlapang dada.

Saat inilah kita merasakan persaudaraan Islam yang diikat atas dasar aqidah Islam dan keimanan mendalam kepada Allah SWT. Laungan takbir yang membesarkan Allah SWT menenggelamkan segala kebesaran makhluk lain serta slogan lain di atas dunia. Islam menyatukan umat tanpa mengira bangsa, warna kulit, jalur keturunan, sempadan geografi, fahaman politik mahupun ideologi. Amat berbahagialah mereka yang berjuang atas dasar Islam tanpa mengira segala perbezaan ini, sebaliknya rugilah mereka yang berjuang atas dasar bangsa atau etnik tertentu semata-mata.

Umat Islam seharusnya menjadi semakin kuat dan hebat dengan adanya sambutan Hari Raya Aidilfitri. Saya mengharapkan Hari Raya Aidilfitri ini sebagai pemangkin untuk kita bangkit menegakkan Islam dan meruntuhkan segala amalan Jahiliyyah dan kemungkaran. Musuh Islam amat kagum dan gentar dengan adanya kesatuan ummat yang bersatu di atas dasar aqidah Islam. Saya juga mengharapkan umat Islam agar kembali kepada landasan Islam dengan menjauhi segala perbuatan maksiat dan mungkar.

Akhir sekali, bagi pihak PAS Kawasan Titiwangsa saya memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dan kelemahan kami selama ini. PAS Kawasan Titiwangsa sentiasa menghulurkan tangan persahabatan kepada umat Islam di mana sahaja, kerana ukhwah inilah yang mengukuhkan hubungan kami dengan umat Islam di parlimen Titiwangsa selama ini.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Disediakan Oleh;

MEJAR (B) USTAZ ABDULLAH ABDUL WAHAB
Yang DiPertua PAS Kawasan Titiwangsa

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites