Jangan terperanjat bila ada penoreh getah mendapat pendapatan RM3,000 sebulan sekaligus melepasi pendapatan penjawat awam. Biar betul? Memang betul la! Hari ni harga getah melambung tinggi sehingga mencecah RM15 sekilogram. Wah mahal getah sekarang......

Sabtu, 27 Ogos 2011

PAS Pahang tetap menentang Projek Lynas

PAS Pahang tetap menentang projek Lynas walaupun ada percanggahan dalam kenyataan pakar-pakar, yang sebilangan kecilnya dalam PAS yang mengatakan ia tidak mengundang bahaya kepada manusia dan alam sekitar.

PAS Pahang tetap menghormati kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang anggota parlimen PAS, Dr Che Rosli Che Mat, walaupun pendapat beliau berbeza dengan pendirian parti dan Pakatan Rakyat dalam hal ini. Kenyataan beliau berupa hak dan kepakaran pandangan peribadi yang harus dihormati. Ini tidak menjadi masalah kepada parti, malah parti meraikan perbezaan pendapat ini dalam juzuk selaras dengan landasan demokrasi.

Meskipun demikian, untuk PAS, rakyat perlu didahulukan dalam hal ini. Kebimbingan risiko akibat projek Lynas oleh orang ramai, terutamanya penduduk Kuantan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Rakyat mempunyai hak terbesar yang mesti didengar semua.

PAS tetap melihat projek ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat selain peluang pekerjaan hanya cukup menampung beberapa kerat pekerja tempatan; berbanding dengan risiko yang sedang menanti.

Projek Lynas sebagaimana projek be-risiko tinggi yang lain, sekiranya mengikut semua pakar nuklear, tidak akan mendatangkan ancaman dan bahaya dalam keadaan normal. Bahkan loji nuklear pun dikatakan selamat, begitu juga loji tenaga dan seumpamanya.

Namun, apabila berlaku sesuatu di luar kawalan manusia seperti yang terbesar kecuaian manusia sendiri, gempa bumi, banjir, tsunami dan lain-lain – apakah pada waktu itu baru kita hendak mengakui bahawa ia telah menjadi satu ancaman?

Penduduk di sekitar Gebeng dan Kuantan masih teringat projek nadir bumi di Bukit Merah pada 1980an – semasa ia diluluskan, ia juga dikatakan tidak bahaya dan tidak mengancam manusia dan alam sekitar.

Akan kini setelah terbukti ancamannya, ke mana semua pakar yang berhujah pada masa itu bahawa ia selamat? Semuanya senyap menyepi – yang menanggung bala adalah penduduk di sekitar kawasan loji tersebut, bahkan sisa toksiknya masih belum diselenggara sepenuhnya dengan baik sehingga kini. Percayalah, bila loji di Gebeng bertukar menjadi ancaman, orang asing dan tempatan beserta pakar yang menyokong loji ini akan mencari mangsa untuk dipersalahkan, lebih teruk lagi senyap menyepi tanpa sesiapa yang sanggup berdiri keluar untuk bertanggungjawab kepada akibat yang berlaku.

Rakyat Pahang rata-ratanya sehingga kini ingin tahu ke mana sisa radioaktif akan dilupuskan. Kalau ianya tidak bahaya seperti yang dinyatakan, nyatakanlah sebuah negara yang sudi terima sisa toksik ini.

Apakah sisa ini akan ditanam dalam bumi kita – isi dan untung mereka yang dapat tapi sisa dan toksik rakyat kita yang tanggung?

PAS Pahang berdiri teguh bersama rakyat Pahang yang menentang projek ini, dan bagi sesiapa yang menyokongnya, bolehlah usahakan agar projek ini dibawa ke kawasannya, dan tengoklah apa reaksi pengundinya di sana.

Carilah negeri lain yang rakyatnya sedia dan sanggup terima, itupun jika dapat cari.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah menetapkan 11 syarat dikeluarkan untuk pertimbangan Lynas dan AELB (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia) sebelum projek kilang tersebut diteruskan. Kita harus ingat badan ini merupakan badan yang juga menggalakan pengunaan tenaga nuklear di dunia. Menurut President Sahabat Alam Malaysia (SAM) S. M. Mohamed Idris, badan inilah yang membuat perakuan loji nadir bumi di Bukit Merah tidak membahayakan orang ramai. Tapi sekarang, apa yang sudah berlaku ?

PAS Pahang tetap berpegang bahawa suara rakyat jadi penentu. Kita akan terus mendesak sehingga projek ini dibatalkan. Rakyat Pahang akan memberikan jawapan yang jelas menentang hal ini apabila datang PRU-13 nanti.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Pesuruhjaya PAS Pahang

1 ulasan:

Dimanakah Che Rosli Sewaktu Trajedi Bukit Merah?

TV3 suku menyiarkan kenyataan seorang MP PAS bernama Che Rosli yg mendakwa kilang yang bakal di bina di Kuantan itu selamat untuk semua orang.

Merujuk kepada biodata Che Rosli di Facebook, tertera:



AHLI JAWATANKUASA PERLINDUNGAN SINARAN.
LEMBAGA PERLESENAN TENAGA ATOM, MALAYSIA, 1984-1999


Ini bererti Dr. Che Rosli adalah antara yang memberi khidmat kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom(LPTA) sewaktu berlakunya trajedi keracunan radioaktif di Bukit Merah sekitar 1984 hingga sekarang.

Keracunan radioaktif (antara lain)akibat stor simpanan bahan buangan kilang nadir bumi milik Mitsubishi Chemicals, Tabung Haji serta beberapa syarikat bumiputra yang lain.

Mengapa LPTA disebut? Ini adalah kerana sewaktu berlaku keracunan radioaktif ini, LPTA telah mengeluarkan lesen bagi kilang tersebut untuk beroperasi. Di dalam ombak protes dari penduduk2 tempatan, LPTA terus memberi lesen.

LPTA terus memberi lesen kerana mereka berkata kilang tersebut selamat dan tidak membahayakan kesihatan penduduk setempat.

Dan dari biodata Dr. Che Rosli, beliau berkhidmat dengan LPTA sepanjang skandal/trajedi Bukit Merah yang meragut nyawa itu.

Maka, Tulang Besi tidak boleh menerima jaminan Dr Che Rosli bahawa kilang Lynas itu bakal selamat.

Ini kerana LPTA juga telah memberi jaminan kepada penduduk Bukit Merah bahawa kilang nadir bumi Mitsubishi itu selamat. Malangnya, jaminan LPTA satu masa dahulu adalah pembohongan semata-mata dan 9 penduduk tempatan telah menghadapi penyakit leukemia, anak2 lahir cacat dsbnya.

Dan oleh kerana Dr Che Rosli berkhidmat dengan LPTA sewaktu trajedi Bukit Merah berlaku, maka Tulang Besi beranggapan apa-apa jaminan yang datang dari alumni LPTA tidak boleh dipercayai angkara trajedi Bukit Merah.

Tulang Besi juga rasa, kalau benarlah dakwaan Che Rosli ni, Tulang Besi cadang kilang RARE EARTH ini dibina di sebelah rumah Che Rosli. Tulang Besi nak tengok berani atau tidak?

Tidak hairanlah walaupun diberi jaminan berulang-ulang kali oleh LTAP dan beberapa pakar, penduduk Kuantan dan Gebeng tetap menolak kilang Lynas. Mereka belajar dari pengalaman rakyat Bukit Merah.

SABOTAJ TERAKHIR GENG PERPADUANG?

Kalau kita ingat kembali, sejurus selepas kemenangan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden, Dr Che Rosli adalah satu-satunya kepimpinan Selangor yang menyatakan sokongan Hasan Ali dikekalkan sebagai Pesuruhjaya Selangor.

Hasan Ali telah pun memulakan langkah mensabotaj PAS dalam isu serbuan JAIS. Maka, Tulang Besi pula merasakan kini giliran Dr. Che Rosli pula.

Tulang Besi melihat kesemua tindakan-tindakan ini adalah satu bentuk sabotaj kepada PAS oleh geng perpaduang yang sudah pun melangkah sebelah kaki keluar dari pintu.

Mungkin juga Tulang Besi salah tapi nampak gayanya begitu. Semuanya seperti mengikut jejak langkah Zul Nordin Al Kazzab.

Tulang Besi

http://www.malaysiawaves.com/2011/08/dimanakah-che-rosli-sewaktu-trajedi.html

P/S untuk pengetahuan Dr. Che Rosli merupakan bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor (yang dilantik oleh bekas Pesuruhjaya Dr. Hassan Ali) yang terkenal dgn versi pro UMNO.

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites