Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LaPAS) akan menganjurkan Program ‘Mesra Al Mubarak’ iaitu edaran ‘goodies’ kepada warga kota yang akan pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Program ini akan diadakan pada 26 Ogos 2011 bersamaan 26 Ramadhan 1432, bermula jam 9.00 malam di sekitar ibu kota dan negeri-negeri.
Program ini diadakan bertujuan untuk memberi sumbangan kepada umat Islam yang akan pulang beraya dengan beberapa ole-ole untuk dibawa pulang ke kampung. Antara bahan yang akan diberi adalah berupa kuih raya, sticker ‘Selamat Pulang ke Kampung’ serta risalah khas. Risalah ini diharapkan mampu sebagai bahan bacaan warga desa bagi memberi maklumat terhadap isu-isu semasa. Program ini juga diharapkan mampu membentuk hubungan yang baik antara masyarakat khususnya anak-anak muda dengan Pemuda PAS.
Lokasi yang dikenalpasti untuk edaran ‘goodies’ adalah di Stesen Bas Jalan Duta. Selain itu, LaPAS dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS negeri-negeri turut akan mengedarkan bahan yang sama di Butterworth dan Alor Setar.
Dianggarkan sebanyak 10,000 bahan edaran telah disiapkan untuk program nanti. Antara sasaran utama program ini adalah pemandu bas, penumpang bas dan penjaja. Kelompok ini adalah penting bagi mewakili segmen masyarakat yang pelbagai. Antara pemimpin pemuda PAS yang akan hadir bersama mengedarkan ‘goodies’ adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohd Abduh dan YB Mohd Firdaus Jaafar, Pengerusi LaPAS.
LaPAS mengharapkan sambutan serta sokongan rakyat bagi menjayakan program ini. Semoga ‘Mesra Al Mubarak’ menjadi pencetus perubahan bermakna terhadap umat Islam bersempena bulan Ramadhan dan Syawal tahun ini.
Disediakan oleh;
YB MOHD FIRDAUS JAAFAR
Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan