SHAH ALAM 3 Ogos - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor bertindak bijak apabila menyediakan geran bagi membiayai usaha memfailkan bantahan daftar pengundi baharu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebelum ini, lazimnya kos membuat bantahan terhadap senarai daftar pemilih ditanggung oleh rakyat yang mabuat bantahan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun menjelaskan, geran berjumlah kira-kira RM1 juta adalah terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan parti politik.
"Kerajaan negeri memandang serius aduan-aduan mengenai kepincangan pada daftar pengundi yang sedia ada dan senarai daftar pengundi baharu.
"Aduan dan tuduhan termasuk rakyat negara jiran yang mendapat taraf pemastautin tetap dan disenarai sebagai pengundi amat merunsingkan dan perlu diselesaikan dengan segera," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Menurut Abdul Khalid, peruntukan geran tersebut hanya melibatkan bantahan di negeri ini dan mereka yang berhasrat mendapatkan pembiayaan tersebut boleh membuat permohonan kepada kerajaan negeri.
Namun, katanya, permohonan akan diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat bagi meluluskan peruntukan berkenaan.
"Kita jangka proses mendapatkan peruntukan itu akan memakan masa dalam tempoh satu bulan lagi kerana buat masa ini tempoh bantahan sudah tamat dan kita perlu tunggu tiga bulan lagi sebelum bantahan baharu dibuka," katanya.
Tambah beliau, rakyat mempunyai hak untuk menuntut satu daftar pemilih yang bersih untuk membuka jalan kepada pilihan raya yang bersih dan adil.
0 ulasan:
Catat Ulasan